Ads Top

REVIEW FILEM TRAIN TO BUSAN PENINSULA, PELAKON MALAYSIA TURUT BERLAKON FILEM INI TERBAIK

GALAKSI VIRAL - Filem Korea yang ditunggu-tunggu kini sudah mula ditayangkan di pawagam iaitu sambungan filem Train To Busan  berjudul Peninsula di mana ianya pasti akan menarik perhatian ramai peminat filem ketika ini. Yang lebih menarik lagi apabila ada pelakon Malaysia turut berlakon di dalam filem ini dan watak yang dimainkan oleh beliau juga sangat penting di dalam filem ini.

Filem ini sebenarnya mula ditayangkan pada 15 Julai 2020 di Korea Selatan dan  di beberapa negara termasuk Malaysia. Filem ini asalnya akan ditayangkan di Festival Filem Cannes 2020 tetapi dibatalkan kerana wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. 

Sehingga Julai 2020, filem ini memegang rekod kutipan paling tinggi untuk tahun 2020 di Korea Selatan iaitu sebanyak $ 2.4 juta dan kutipan $20 juta untuk tayangan seluruh dunia. Jika diikutkan filem Peninsula ini ialah filem zombie yang ketiga untuk turutan cerita asal zombie ini. Filem yang pertama ialah filem animasi Seoul Station (2016) dan diikuti filem kedua Train To Busan (2016). Adakah filem ini sehebat filem Train To Busan yang pernah mencetuskan fenomena hebat seluruh dunia pada tahun 2016/2017 ? Mari kita baca sinopsis cerita ini dahulu.
Antara pelakon utama dan adegan menarik di dalam filem ini - Google Image

(PERHATIAN: SPOILER ALERT)

GALAKSI VIRAL
Blog Hiburan Informasi Kababoom
https://galaksiviral.blogspot.my/


SINOPSIS

Filem ini bermula dengan adegan Kapten Jung-seok (Gang Dong-won) yang membawa ahli keluarganya yang terdiri daripada kakak kandung, anak saudara dan abang ipar beliau dengan kereta ke pelabuhan laut untuk ke Jepun bagi menyelamatkan diri daripada ancaman zombie di Korea Selatan. Ketika di dalam perjalanan ke sana, mereka bertembung dengan satu keluarga yang meminta bantuan untuk membawa anak kecil mereka ke tempat selamat. Namun, Kapten Jung-seok tidak mengendahkan permintaan keluarga tersebut dan terus berlalu daripada situ.

Selepas mereka semua berada di dalam kapal laut, tiba-tiba, Kapten Jung-seok dimaklumkan yang mereka akan ditukar haluan daripada ke Jepun pergi ke Hong Kong. Dalam pada masa yang sama, tanpa mereka sedari, ada penumpang yang sudah dijangkiti virus zombie dan mula menggigit orang yang berdekatan dengannya. Antara yang telah digigit ialah anak saudara Kapten Jung-seok dan ini membuatkan beliau berada di dalam keadaan tidak keruan. Kakak beliau enggan meninggalkan anak lelaki beliau yang digigit itu kerana tidak sanggup berpisah dengan anaknya. Akibatnya kakak beliau turut menjadi mangsa zombie dan ianya hanya dapat dilihat daripada jauh oleh Kapten Jung-seok dan abang iparnya.

Wajah Zombie - Google Image 

Selepas empat tahun kemudian, Kapten Jung-seok yang kini tinggal di Hong Kong berada di dalam keadaan yang sangat daif dan tidak terurus. Tiba-tiba, ada sekumpulan gangster datang mencari beliau kerana inginkan bantuan beliau mengenai sesuatu. Setibanya beliau di tempat gangster itu, beliau terkejut apabila melihat abang ipar beliau turut berada di situ. Abang iparnya juga dalam keadaan yang tidak terurus seperti beliau juga. Selain mereka berdua, terdapat dua lagi orang Korea Selatan bersama mereka. Mereka semua dimaklumkan yang mereka diperlukan untuk pergi semula ke Korea Selatan untuk mengambil duit berjumlah $20 juta di dalam sebuah van besar berwarna putih. Selepas mereka berfikir dan berbincang, mereka bersetuju untuk pergi ke sana dengan harapan dapat mengubah nasib mereka  apabila kembali semula ke Hong Kong nanti bersama duit berkenaan. Mereka pergi dengan menaiki kapal lautdan dibekalkan dengan telefon satelit untuk berhubung dengan gangster Hong Kong itu.

Selepas mereka tiba di Semenanjung Korea, mereka dapati keadaan di sana sangat teruk dan tidak terurus. Kemudian, mereka menaiki kereta untuk mencari van berkenaan dan akhirnya telah berjumpa van tersebut. Ketika mereka hendak bergerak ke arah pelabuhan, tiba-tiba mereka diserang oleh zombie kerana ada pihak tidak diketahui telah melempar bunga api ke arah depan kereta mereka bagi menarik perhatian zombie di situ. Maka, berlakulah adegan kejar mengejar zombie dengan kenderaan mereka sehingga berlaku kemalangan yang membunuh salah seorang daripada mereka. Kapten Jung-seok diselamatkan oleh dua orang anak gadis dan dibawa keluar daripada kawasan zombie itu. Manakala, abang ipar Kapten bersembunyi di belakang van dan seorang lagi rakan mereka telah ditembak mati oleh pihak yang tidak diketahui identiti tadi iaitu Unit 631 (pasukan pemberontak militia).

Selepas tersedar, Kapten dapati beliau berada di dalam suatu rumah dan perasan yang ibu kepada dua anak gadis tadi adalah wanita yang bersama keluarganya pernah meminta bantuan beliau ketika beliau dalam perjalanan ke pelabuhan empat tahun yang lalu. Kapten berasa serba salah kerana tidak membantu ibu itu suatu ketika dahulu dan berterus-terang dengan ibu gadis itu. Ibu gadis itu tidak marah dan redha dengan apa yang terjadi. Selain dua orang anak gadis dan ibu mereka, terdapat seorang lagi lelaki di dalam rumah itu iaitu yang dipanggil Kommander (datuk mereka). Komander
ini sebenarnya mengalami masalah mental dan setiap masa berkata penyelamat bernama Jane akan datang menyelamatkan  mereka. Watak Jane ini akan membuat kejutan pada akhir cerita ini nanti.

Untuk pergi ke pelabuhan itu, mereka perlukan telefon satelit untuk memaklumkan mereka sudah sampai ke pelabuhan dan bersedia untuk berlayar. Disebabkan telefon satelit itu berada di dalam van putih tadi yang kini sudah dibawa ke lokasi Unit 361, jadi mereka terpaksa ke sana untuk dapatkan telefon satelit itu. Abang ipar Kapten tadi pula mengalami nasib malang apabila beliau dipaksa berlawan dengan zombie di dalam kandang perlawanan dan disaksikan oleh Unit 361. Manakala, Kapten Seo iaitu salah seorang ketua militia Unit 361 telah menemui telefon satelit itu dengan bantuan Prebet Kim dan bercadang untuk ke pelabuhan itu untuk keluar daripada Semenanjung Korea. Dipendekkan cerita, Kapten Jung-seok dan ibu gadis sudah dapat van itu di lokasi Unit 361 tetapi malangnya telefon satelit yang mereka mahu berada di tangan Kapten Seo. Mereka membelasah Kapten Seo untuk dapatkan telefon itu. Kemudian, Kapten Jung-seok cuba menyelamatkan abang iparnya tetapi dibunuh oleh Sarjan Hwang. Dalam pada masa yang sama, segerombolan zombie telah menyerang markas Unit 361 dan berada di dalam keadaan tidak terkawal.

Di hujung cerita ini, apabila semua watak utama sudah menghampiri ke pelabuhan, tetiba Kapten Seo telah melanggar mengejut kereta yang dipandu oleh anak gadis itu. Akibatnya, Komander telah ditembak mati oleh Kapten Seo dan ibu gadis itu pula ditembak di betis kaki. Kapten Seo membawa lari van putih itu terus ke pelabuhan dan berjaya masuk ke dalam kapal laut itu. Namun, beliau ditembak mengejut oleh gangster Hong Kong dan Kapten Seo terus menekan brek undur van sehingga melanggar dinding penutup kapal dan  mengakibatkan zombie masuk ke dalam kapal laut itu. Kesemua watak utama hanya melihat jauh situasi itu. Namun, tiba-tiba terdengar bunyi helikopter di atas langit dan ini mengejutkan mereka. Mereka membakar bunga api untuk menarik perhatian helikopter itu dan mereka bernasib baik kerana helikopter itu adalah daripada United Nations yang terlibat dengan usaha menyelamatkan mangsa yang masih terselamat daripada malapetaka zombie itu. Dan di sinilah berlaku satu kejutan dan menarik perhatian rakyat Malaysia. Nama Jane yang kerap disebut oleh mendiang Komander itu sebenarnya memang wujud dan beliau ialah salah seorang anggota penyelamat United Nation yang berasal daripada Malaysia. Logo bendera Malaysia jelas terang terpapar di tepi baju Jane. Rasa bangga pula kerana ada watak orang Malaysia yang datang menyelamatkan mangsa zombie ini. Watak ini dimainkan oleh pelakon Malaysia bernama Bella Rahim. Cerita ini berakhir dengan Kapten Jung, ibu dan dua anak gadisnya terselamat.

REVIEW 

Jalan cerita filem ini masih mengekalkan asas hubungan kekeluargaan di dalam menghadapi bencana zombie ini. Kesemua watak utama dan sampingan memainkan watak dengan sungguh baik dan berkesan. Sinematografi filem ini mengingatkan kepada filem Will Smith berjudul I Am Legend (2007). Antara adegan paling menarik sekali ialah apabila anak gadis (Joon-i) yang memandu kereta dengan gaya ala 2 Fast 2 Furios dan juga teknik tersendiri menarik perhatian zombie kepada musuh masing-masing seperti bunga api dan kereta mainan kawalan jauh LED. Tetapi sebagai rakyat Malaysia, adegan kejutan Jane sebagai penyelamat itu adalah momen yang sangat menarik dan memberikan impak kepada jalan cerita. Pelakon Bella Rahim berjaya memainkan watak beliau dengan baik sekali walaupun muncul hanya sekejap sahaja. Selain itu, sejujurnya GV tercari cari juga adakah watak dari filem terdahulu akan muncul dalam filem ini tetapi sayangnya tiada. Mungkin GV sendiri tidak perasan atau sememangnya ketiga-tiga filem zombie ini sememangnya menggunakan watak berbeza untuk setiap filem. Dan yang masih jadi persoalannya, sampai sekarang tidak tahu bagaimana virus itu boleh dihasilkan dan merebak secara drastik daripada makmal di Korea Selatan. Prekuel animasi Seoul Station tidak menceritakan dengan jelas mengenai sejarah virus ini. Selain daripada itu, GV rasa semua okey dan puas juga untuk kita menontonnya.

Bella Rahim - Google Image

Cuma GV terfikir, diharap virus zombie  ini tidak wujud di masa hadapan kerana ianya sudah terang lagi bersuluh boleh meruntuhkan sesebuah negara atau tamadun dalam masa 1 minit sahaja. Dalam cerita ini, negeri Korea Utara masih wujud kerana kawalan ketat mereka yang tidak membenarkan rakyat asing memasuki negara mereka. Berbanding Korea Selatan, negara ini hancur, lumpuh dan ianya hanya dihuni makhluk tidak bernyawa (zombie). Layanan kepada pelarian Korea Selatan di Hong Kong juga sangat menyedihkan kerana penduduk Hong Kong takut dengan mereka dan beranggapan kemungkinan pelarian Korea Selatan ini juga mempunyai virus zombie itu. Akibatnya, mereka disisihkan sehingga mereka terpaksa menjadi pengemis dan hidup terumbang ambing di negara orang. Situasi ini mengingatkan kepada situasi wabak Covid 19, apabila ada restauran  atau kedai di Korea dan Jepun yang enggan menerima pelancong China kerana bimbang dengan penularan wabak Covid 19. Kadang-kadang filem ini selalu dilihat sebagai suatu fantasi tetapi tidak menghairankan andai kata ianya boleh menjadi realiti suatu hari nanti. Waallahualam.

GVMETER  : 85/100 
💖💖💖💖
(TERBAIK)




GALAKSI VIRAL

Blog Hiburan Informasi Kababoom

https://galaksiviral.blogspot.my/



Sumber :

Google Image


3 comments:

Terima Kasih Sudi Baca. Semoga Semua Murah Rezeki & Berbahagia Selalu. InsyaAllah. Aamin. :D

Powered by Blogger.